Pada tahun 1960-an, jangka hayat purata global adalah sekitar 56 tahun. Pada tahun 2021, ia meningkat kepada 71 tahun. Walaupun hidup kita semakin panjang, peratusan masa yang dihabiskan dalam keadaan sihat tetap tidak berubah.
Kebanyakan daripada kita tidak memikirkan kesihatan kita sehinggalah sesuatu terasa tidak kena. Sakit secara tiba-tiba, benjolan yang tidak biasa, batuk yang berpanjangan—barulah kita menuju ke klinik. Tetapi hakikatnya, waktu terbaik untuk menjaga kesihatan adalah ketika kita merasa sihat sepenuhnya.
Apa Itu Penjagaan Kesihatan Pencegahan?
Penjagaan kesihatan pencegahan merangkumi saringan berkala, pemeriksaan kesihatan, dan panduan gaya hidup untuk mengesan masalah sebelum menjadi serius.
Antara saringan kesihatan pencegahan yang paling biasa dilakukan termasuk:
- Pemeriksaan tekanan darah
- Ujian kolesterol
- Saringan kanser
- Pemantauan tahap glukosa dalam darah
- Ujian jangkitan seksual (STI)
Tujuan Saringan Kesihatan
Saringan kesihatan memainkan peranan penting dalam mengekalkan dan meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Ia membantu mengesan masalah kesihatan yang berpotensi sebelum gejala muncul.
Tujuan utamanya adalah untuk mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit yang mungkin tidak disedari sehingga sudah menjadi serius atau sukar dirawat.
Faedah saringan kesihatan termasuk:
Pengesanan Awal
Saringan boleh mengenal pasti masalah seperti tekanan darah tinggi, diabetes, atau kanser pada peringkat awal—waktu yang paling sesuai untuk rawatan berkesan.
Pencegahan Penyakit
Beberapa jenis saringan boleh mencegah penyakit sebelum ia bermula. Contohnya, mengenal pasti tahap kolesterol atau gula darah yang tinggi boleh mengelakkan komplikasi seperti penyakit jantung atau diabetes.
Pengurusan Risiko Peribadi
Saringan berkala membantu doktor menilai faktor risiko berdasarkan gaya hidup, umur, sejarah keluarga dan faktor peribadi lain. Ini membolehkan nasihat kesihatan yang lebih tepat dan intervensi awal.
Penjagaan Kesihatan Yang Lebih Jimat Kos
Rawatan untuk penyakit pada peringkat awal biasanya lebih murah dan kurang rumit berbanding peringkat yang lebih serius. Ia juga boleh mengurangkan lawatan ke hospital dan keperluan untuk rawatan jangka panjang.
Mendorong Perubahan Gaya Hidup Lebih Sihat
Keputusan saringan kadangkala menunjukkan corak kesihatan atau kecenderungan genetik yang boleh mendorong seseorang untuk mengubah cara pemakanan, senaman, atau tabiat lain demi kesihatan jangka panjang.
Kenapa Rakyat Malaysia Tidak Buat Saringan Kesihatan
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan and Morbiditi 2023, 2 daripada 5 rakyat Malaysia tidak menjalani sebarang saringan kesihatan dalam tempoh 12 bulan lalu.
Mereka Rasa Sihat
Kalau tak rasa letih melampau, jaga pemakanan, selalu bersenam, kita mudah anggap semuanya okey. Tapi realitinya banyak penyakit serius seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, atau kanser tahap awal boleh hadir walaupun semasa anda masih rasa sihat dan kuat.
Rasa sihat tak semestinya anda benar-benar sihat. Dalam banyak kes, bila gejala mula muncul, penyakit itu mungkin sudah di tahap lanjut.
Tiada Gejala Yang Jelas
Ramai juga beranggapan, “kalau tak sakit, tak perlu risau.” Tapi masalah kesihatan selalunya berkembang secara senyap. Contohnya, penyakit buah pinggang boleh berlarutan tanpa simptom sehingga sampai ke tahap kritikal. Penyakit jantung pula kadang-kadang cuma menunjukkan satu-satunya simptom — serangan jantung.
Nilai saringan kesihatan terletak pada kemampuan mengesan tanda awal penyakit, sewaktu anda masih sempat bertindak, sama ada ubah gaya hidup, mula ubat, atau pantau keadaan lebih dekat.
Tak Ada Masa
Dengan rutin kerja, keluarga dan tanggungjawab harian, luangkan masa untuk pemeriksaan kesihatan terasa seperti satu beban. Tapi hakikatnya, mengurus penyakit kronik seperti diabetes atau sakit jantung mengambil lebih banyak masa, tenaga dan wang — berbanding satu sesi saringan selama 1 jam.
Saringan kesihatan bantu jimat masa di masa depan. Kalau penyakit dikesan awal, rawatan jadi lebih mudah, risiko komplikasi berkurang, dan dalam banyak kes — anda mungkin boleh elakkan penyakit itu sepenuhnya.
Pengesanan Awal vs. Diagnosis Lewat
Berikut ialah perbandingan beberapa keadaan kesihatan dan bagaimana pengesanan serta rawatan awal boleh memberi kesan besar terhadap jangka hayat seseorang:
| Keadaan Kesihatan | Anggaran Pengurangan Jangka Hayat | Nota |
|---|---|---|
| Merokok | Sebanyak 10 tahun | Berhenti merokok sebelum umur 40 tahun boleh pulihkan sebahagian besar kesan. |
| Obesiti (BMI ≥ 30) | 6–8 tahun | Risiko bertambah jika disertai masalah seperti diabetes. |
| Diabetes Jenis 2 | 6–10 tahun | Diabetes yang tidak dikawal dengan baik memberi kesan lebih besar. |
| Hipertensi (tekanan darah tinggi yang tidak dikawal) | 5 tahun | Meningkatkan risiko strok dan penyakit jantung. |
| Kolesterol tinggi | 3–5 tahun | Bergantung pada tahap LDL dan faktor risiko lain. |
| Penyakit jantung (cth. penyakit arteri koronari) | 6–10 tahun | Pengesanan dan rawatan awal boleh tingkatkan kadar hidup. |
| Penyakit buah pinggang kronik | 10–15 tahun (tahap lanjut) | Tahap awal mungkin kurang kesan, tapi kemerosotan akan memperburuk keadaan. |
| Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) | 5–7 tahun | Merokok adalah faktor utama; rawatan awal sangat membantu. |
| Kemurungan utama | 7–10 tahun | Kesihatan mental mempengaruhi kesihatan fizikal dan jangka hayat. |
| Strok (selepas satu serangan) | 5 tahun atau lebih | Bergantung kepada tahap keseriusan dan penjagaan susulan. |
| Ketagihan alkohol | 10–15 tahun | Pengambilan berlebihan boleh sebabkan kegagalan hati, masalah jantung dan kanser. |
| Gaya hidup tidak aktif | 3–5 tahun | Kurang pergerakan meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik. |
| Sleep apnea (jika tidak dirawat) | 6–8 tahun | Berkait dengan masalah jantung jika tidak dikendalikan dengan betul. |
Bolehkah Saringan Kesihatan Menambah Usia Anda?
Satu kajian mengikuti 2,000 orang berumur 30 hingga 49 tahun selama enam tahun. Ada peserta yang menjalani saringan kesihatan dan menerima surat nasihat. Kumpulan A diminta untuk hubungi doktor mereka sendiri jika mahu berbincang lebih lanjut. Kumpulan B pula diberikan temujanji berjadual untuk berbincang tentang keputusan mereka. Kumpulan ketiga tidak menerima sebarang saringan atau nasihat.
Apa yang mereka jumpa?
- Orang yang menjalani saringan kesihatan hidup lebih lama berbanding mereka yang tidak — secara purata hingga 0.14 tahun (kira-kira 7 minggu) lebih lama.
- Kumpulan yang menerima temujanji berjadual (Kumpulan B) menunjukkan keputusan sedikit lebih baik berbanding kumpulan yang perlu menghubungi doktor sendiri (Kumpulan A).
Dalam kajian lain, perbezaan jangka hayat ini boleh mencecah beberapa tahun bergantung pada jenis penyakit yang dikesan awal. Tahun-tahun berlebihan ini lagi berharga kalau anda sudah tua.
Bagaimana ini berlaku? Pengesanan awal boleh menghentikan perkembangan penyakit, mengurangkan keperluan rawatan agresif, dan membantu mengawal penyakit kronik sebelum ia memberi kesan besar kepada tubuh. Ringkasnya, saringan kesihatan bukan sekadar membantu anda hidup lebih lama — ia juga membantu anda hidup dengan kualiti hidup yang lebih baik.
Contohnya, tekanan darah tinggi dikenali sebagai pembunuh senyap — tiada simptom, tapi dalam diam merosakkan jantung, buah pinggang dan otak. Pemeriksaan tekanan darah secara berkala boleh mengesan masalah ini awal. Dengan perubahan gaya hidup atau ubat, anda boleh elakkan strok dan serangan jantung sepenuhnya.
Atau ambil contoh diabetes. Jika paras gula dikesan tinggi semasa peringkat pradiabetes, pesakit sering boleh membalikkan keadaan hanya dengan pemakanan sihat dan senaman — sekaligus mengelakkan komplikasi seperti kehilangan penglihatan atau kerosakan saraf.
Dapatkan Saringan Kesihatan Anda di Dr Prevents
Pencegahan bukan sekadar untuk hidup lebih lama—ia tentang hidup dengan lebih sihat dan berkualiti. Saringan kesihatan secara berkala boleh membantu anda mengelakkan komplikasi serius, mengurangkan kos rawatan, dan memberi ketenangan fikiran. Jika sesuatu dikesan lebih awal, peluang untuk rawatan berkesan juga jauh lebih tinggi.
Jika sudah lama anda tidak membuat pemeriksaan, anggap ini sebagai peringatan mesra. Tempah temujanji saringan kesihatan anda di mana-mana klinik Dr Prevents. Doktor kami sedia membantu anda menjaga kesihatan dari sekarang.